Bila KBS tak kisah, Pelancongan tak peduli, apa nak jadi pada Sports Tourism?
Baru-baru ini saya menghadiri sidang media pengumuman penyertaan Pasukan Jetrace 1Malaysia ke pusingan akhir Kejohanan Jetrace Dunia 2011 di Lake Havasu City, Arizona, Amerika Syarikat yang akan berlangsung pada 1 hingga 9 Oktober depan.
Saya berkesempatan berkenalan dengan lima orang pelumba yang terpilih ke kejohanan itu, iaitu Mohd Nur Azahari atau lebih dikenali sebagai Eddy Pangkor, Ahmad Dawi Alias, Katherine Kong dan pasangan adik beradik, Nur Shahida Mohamad Noor dan Mohamad Faez Mohamad Noor.
Malaysia sepatutnya menghantar pasukan tahun lalu, tetapi disebabkan masalah kewangan dan visa, terpaksa menarik diri pada saat akhir. Tetapi kali ini, walaupun belum mendapat penaja sehingga kini, Kelab Sukan Kraft Air (KSKA) yang mengaturkan penyertaan Malaysia bertekad menghantar kelima-lima pelumba itu.

Eddy Pangkor
Menurut Chef De Mission ke kejohanan berkenaan, Raja Putra Shah, tujuan sidang media itu dibuat untuk mendapat perhatian dan sokongan pihak swasta setelah ia gagal mendapat bantuan dan sokongan kerajaan, iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pelancongan.
Saya dimaklumkan, pada tahun lalu KSKA telah memohon bantuan daripada KBS tetapi ditolak atas alasan, permohonan dibuat lewat dan ketiadaan dana, lantas kelab itu dinasihatkan mencuba lagi tahun berikutnya.
Maka kali ini, dengan penuh harapan, KSKA buat permohonan awal, mengikut proses-proses yang ditetapkan. Tetapi sekali lagi ditolak mentah-mentah dengan alasan, KBS tak ada duit!
Saya cubalah merisik menerusi kawan-kawan di KBS, sama ada betul ke KBS tak ada duit?. “KBS mana ada duit lagi – mereka sudah over budget semasa anjurkan Perhimpunan Sejuta Belia. Jadi, dana untuk persatuan-persatuan memang dah kering,” kata sumber itu. Terkejut badak saya mendengar ceritanya.
Satu lagi sumber memberitahu, kalau untuk badminton, bola, basikal, tak ada duit pun, ia boleh diadakan. Kalau sukan lain, termasuk jetski, janganlah menaruh harapan. Macam ada double-standard pulak dah!
Saya juga terdengar tidak lama dulu, sebaik Menteri mengumumkan peruntukan RM3,000 kepada setiap persatuan belia, maka ramailah berlumba-lumba tubuh persatuan belia, tetapi khabarnya, ada persatuan yang setelah dapat peruntukan, tak buat aktiviti apapun.
Semasa sidang akhbar, penganjur diajukan soalan kenapa tak minta tolong Kementerian Pelancongan bila KBS dah tolak?. Jawab mereka – kementerian pelancongan kata, sukan tak masuk bidang mereka – walhal sah-sah pasukan ini bertanding atas tiket 1Malaysia, iaitu selain menyertai pertandingan, mereka juga mahu mempromosi Malaysia.

Dawi Alias
Saya teringat dulu semasa Datuk Azalina Othman Said jadi Menteri Pelancongan, dia begtu galak membantu mempromosi Sports Tourism. Tapi sejak si Ng Yen Yen ambilalih, tak ada dengar dia mempromosi Sports Toursim.
Ng Yen Yen mungkin sibuk sangat nak bawa pelancong dari Cina, Taiwan dan Arab ke Malaysia sehingga terlupa nak promosi Malaysia ke luar negara, terutama Amerika yang selalu menyalah anggap Malaysia. Dia mungkin tak nampak peluang ini boleh digunakan untuk mempromosikan Malaysia di kalangan rakyat negara itu kot?
Nampaknya Yen Yen lebih seronok belanja berjuta Ringgit untuk anjur Karnival Bunga dan membayar akaun Facebook (yang satu dunia tahu ia percuma)! Mungkin pada Yen Yen, Sports Tourism ini buang masa aja.
Nak tak hendak, terpaksalah KSKA berhempas pulas mencari tajaan sekitar RM300,000 yang merangkumi perbelanjaan penyertaan menghantar pelumba, pegawai, krew teknikal, bayaran yuran pendaftaran, sewa jet-ski, tiket penerbangan, penginapan, elaun, kelengkapan perlumbaan dan sebagainya.
Sepatutnya KBS dan Kementerian Pelancongan melihat lebih jauh bahawa penyertaan pasukan 1Malaysia Jetracing Team bertujuan menempatkan nama Malaysia di arena antarabangsa di dalam sukan air lasak dan bermotor. Kejohanan berskala besar ini memberi peluang kepada pelumba Malaysia bersaing dengan pelumba bertaraf dunia dan menimba pengalaman daripada mereka.
Kejohanan ini bukan kejohanan remeh. Ia adalah acara kemuncak di dalam kalendar bagi The International Jet Sports Boating Association (IJSBA), sebuah pertubuhan yang diiktiraf dunia untuk perlumbaan sukan personal watercraft.
IJSBA bertanggunjawab mengawalselia pengiktirafan, penganjuran dan penyelarasan acara, menetapkan taraf kelayakan pertandingan dan pegawai, peraturan kelayakan dan penyediaan watercraft serta peraturan siri kejohanan seluruh dunia. Ia mempunyai ahli dari lebih 50 negara di seluruh dunia dan beribupejabat di California, Amerika Syarikat.
Seramai 500 peserta daripada 40 negeri dan 30 negara sudahpun mengesahkan penyertaan untuk kejohanan itu.
Saya yakin sekiranya sukan jet-ski ini diberi sokongan wajar, ia mampu mencipta nama seperti sukan Formula Future. Bagi saya Malaysia mempunyai peluang lebih baik bersaing dengan jaguh dunia menerusi sukan yang tidak memerlukan mereka bersaing di segi fizikal (body contact), sebaliknya bersandarkan kepada kemahiran, kecergasan dan keberanian.
Mungkin Kerajaan Negeri Perak boleh sponsor Azahari, anak jati Pulau Pangkor dan Kerajaan Negeri Terengganu pula boleh menaja pemain paling berpengalaman dalam pasukan ini, iaitu Dawi Alias, anak jati Terengganu.
Mungkin 1MDB juga membantu kot? Yelah, pasukan ini bertanding di bawah tiket 1Malaysia. Ataupun Air Asia, yang dengar khabar cuba mencari peluang mendapatkan laluan di Amerika Syarikat?
Ataupun mungkin ada ahli politik kaya yang boleh membantu pasukan ini dan pada masa yang sama menggunakan platform ini untuk menunjukkan keprihatinan mereka? Hmm...
0 comments:
Post a Comment