Penerbit Filem Jangan Lupa Jasa Media!
Hari ini saya terbaca dalam ruangan HIP akhbar Berita Harian yang melaporkan bahawa Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyalahkan media kerana memberikan publisiti keterlaluan kepada filem seram berbanding filem biasa yang mengakibatkan ia menjadi isu yang tidak disenangi di kalangan orang ramai dan pemimpin masyarakat.
Ewah-ewah. Sedapnya mereka berkata. Itulah sikap sesetengah pemimpin industri hiburan! Sebab nak selindung kesalahan sendiri atau terkedu tak reti nak jawab, boleh tuding jari ke orang lain pula.
Bolehlah pula mereka menyalahkan akibat publisiti terlebih-lebih yang diberikan media, orang ramai dan pemimpin dok asyik kecam penerbit filem kerana terbitkan filem genre sebegitu banyak sehingga melambak di pasaran?
Saya menyokong pendapat wartawan berkenaan (syabas Serimah!) yang mengatakan tujuan media berikan publisiti kerana nak tolong kerana ramai penerbit yang pandai terbit filem tetapi tak menyediakan peruntukan cukup untuk A & P (advertising and promotion).
Saya teringat semasa jadi wartawan hiburan satu ketika dulu, ada penerbit filem yang terhegeh-hegeh dan merayu-rayu minta kita tulis pasal filem mereka. Ada yang siap pesan, "tulis yang baik-baik aja ya," boleh gitu? Apabila dipuji, bukan main, nampak kita, siap peluk cium pipi dan ucap terima kasih sampai berbuih air liur.
Tetapi apabila dikritik, dia tengok muka kita "macam nak makan". Ada juga yang bercakap perkara yang tak baik di belakang kita untuk melepaskan geram. Ada pula yang langsung tak mahu pandang atau berkawan dengan kita selepas itu.
Satu ketika dulu saya pernah dipelawa menghadiri previu media sebuah filem komedi. 10 minit berlalu, panggung begitu senyap. Dah masuk 15 minit masih tak dengar orang tergelak. Hanya terdengar bunyi orang kunyah popcorn dan orang berbisik.
Masuk minit ke-30 saya ketawa terbahak-bahak. Seorang rakan wartawan bertanya, mengapa saya ketawa sedangkan cerita itu tak kelakar langsung. Saya jawab, "itulah sebabnya. Penerbit ini keluarkan duit beratus ribu nak buat orang ketawa, tapi tak ada orang ketawa. Itulah yang paling kelakar."

Pengalaman tengok filem seram ada juga yang tak dapat dilupa. Ada filem yang betul-betul buat saya terkejut dan menjerit. Tetapi bila keluar wayang, perasaan itu hilanglah. Ada juga filem seram yang macam hampeh, tak seram dan tak berkualiti. Maka apabila keluar wayang, saya menyumpah-menyumpah menyesal beli tiket.
Berbalik kepada PFM yang menuduh media itu...Saya kesal sebab dakwaan itu datang daripada seorang yang saya hormati, iaitu presidennya sendiri, Datin Paduka Shuhaimi Baba. Dia dilaporkan berkata demikian dalam satu forum diskusi filem yang diadakan di FINAS baru-baru ini.
Barangkali kesibukan kerja dan usia yang semakin meningkat membuat Shuhaimi terlupa beberapa perkara, seperti bagaimana rakan-rakan wartawan hiburannya bersungguh-sungguh membantu mempromosi Pontianak Harum Sundal Malam dan beberapa filem lagi sehinggalah dia dapat beberapa anugerah.
Atau apakah kenyataan ini timbul daripada perasaan tidak puashatinya kerana filem-filemnya selalu menang anugerah tapi tak pernah jamah box-office seperti filem-filem terbitan pesaing-pesaingnya?
Saya lihat rakan-rakan wartawan hiburan banyak membantu mempromosikan filem-filem Melayu di negara ini, tanpa mengira genre.
Malah ada yang telalu baik hati sampaikan filem yang macam hampeh pun mereka tolong promosi. Ada wartawan yang tak tergamak nak tulis kata filem itu teruk, akan tukar pilih sudut lain untuk mempromosi filem berkenaan dengan mengalih pandangan pembaca dengan cerita mengenai pelakonnya dan sebagainya.
Naib presiden PFM, Ahmad Idham pun mungkin lupa filem seramnya, Jangan Pandang Belakang, Congkak, Niyang Rapik dan banyak lagi dapat liputan meluas daripada media. Kami puji sebab filem itu bagus. Walaupun filem-filem seram arahannya selepas itu macam "suam-suam kuku", media tetap beri sokongan dengan publisiti yang melimpah ruah.
Tetapi saya tabik dengan setiausaha kehormat PFM, Norman Abdul Halim yang fikir mendalam sebelum memberi pandangan. Katanya filem seram sekadar hiburan, malah filem seumpama itu paling banyak menonjolkan elemen keagamaan yang boleh mewujudkan keinsafan, berbanding filem lain.
Mungkin lain kali Shuhaimi dan Idham boleh belajar daripada Norman cara menjawab soalan atau menangkis isu yang dibangkitkan wartawan.
Kepada penerbit-penerbit filem, hentikanlah menyalahkan media apabila anda berdepan dengan isu sebegini. Salah satu sebab filem seram melambak di pasaran kerana penerbit sendiri berlumba-lumba nak buat setelah melihat kejayaan filem-filem seperti Khurafat, Jangan Pandang Belakang, Karak dan banyak lagi.
Penerbit-penerbit filem yang berlumba-lumba nak buat itu menyangka mereka boleh buat lebih baik tetapi mereka lupa mengukur baju di badan sendiri. Maka, berlambaklah filem-filem seram hampeh di pasaran.
Mungkin juga orang lebih berminat menonton filem seram sebab sudah jemu tengok filem-filem bertema cinta dan komedi yang ada sekarang kerana mutu lakonan yang kaku dan skrip yang caca-merba. apa tidaknya, balik-balik jalan cerita yang sama.
Kalau cerita cinta, kita akan tengok jalan ceritanya sebegini - Si A suka B, tapi B pula syok kat C. Ataupun D kawin dengan E, tetapi E skandal dengan F. Ataupun ada emak, bapak, abang, kakak yang tak suka dengan pilihan anak atau adik mereka.
Kisah tomboy syok kat lelaki atau wanita sanggup pendam perasaan sebab nak berkorban untuk kawan, atau ada penyakit tak boleh ubat...alahai...jalan cerita macam ini sudah basi!
Cerita komedi kebelakangan ini pula banyak yang tak habis-habis tunjukkan kebodohan orang dan adegan slapstik yang memualkan.
Pesan saya kepada penerbit-penerbit filem, kalau sudah berada di atas, jangan lupa bagaimana anda bermula di bawah! Ingatlah, media, terutama wartawan hiburan telah banyak membantu anda. Jadi, janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit.

1 comments:
sis,
dah adat. memang ramai manusia lupa daratan bila dah maju, dah kaya.
masa mula2 nak bertapak, ke sana ke sini cari wartawan, minta publisiti. tapi bila satu filem dah meletup, dia kata wartawan pula yang terhegeh-hegeh cari produser filem untuk jadikan berita hangat.
ingat tak pada lewat tahun 1980an, kita (wartawan akhbar arus perdana) pernah pulaukan seorang menteri kerana perlekeh wartawan di johor bahru?
wartawan bukan manusia murahan. wartawan juga tahu menilai, menghargai dan menghormati kerjaya serta pencapaian orang lain.
masalahnya, sumbangan wartawan sering dilupakan, malah diketepikan apabila pihak yang menggunakan khidmat mereka sudah mendapat apa yang dikehendaki...
Post a Comment